Kami sampai di Perlis pada waktu petang. Di bawah redup mentari negeri di utara tanah air ini,  kami bertamu bersama Paklong Yawaris, menuju ke Balbuk Haus, sebuah laman tenang, bersahaja, namun membungkus roh seni yang mengalir deras. Di situ kami bersua Arafat Hambali, pemilik getar yang menyatu antara jiwa pelukis, penyair dan tuan tanah, menjelmakan tanah pusaka orang tuanya yang dulunya diam, kini menjadi nadi seni,  ruang diskusi, tempat bersua rasa, makan-makan dan ilham yang melimpah di tengah laman.

Arafat Hambali menerima kunjungan kami dengan senyuman

Ruang itu tidak sekadar ruang; ia menjadi nadi yang menampung denyut kreatif. Ada angin yang memukul lembut daun-daun, ada cawan-cawan kopi berbunyi perlahan menari di meja kayu tua. Di situ, seni bukan semata pameran, tapi pertemuan jiwa, tempat fikiran menari bebas, dan insan bersatu dalam cahaya satu rasa.

Balbuk Haus

Esoknya, langkah kami dibawa ke medan perjuangan, iaitu maksud kehadiran ke Perlis-  Pertandingan Melukis anjuran Galeri Seni Negeri Perlis bersama Perpustakaan Awam Cawangan Simpang Empat, Kangar. Lebih 40 seniman, dari nama besar ke wajah baru, berkumpul dalam gelora satu misi, menghasilkan karya terbaik. Taklimat ringkas membuka tirai tentang syarat, disiplin dan harapan. Hari itu, matahari bukan sahaja tinggi, tetapi marak membakar tekad. Cuaca amat panas, dan kami hanya dibekalkan sebotol air, sebiji epal dan sebuku roti. Sayangnya, makan tengah hari tidak disediakan. Namun semangat tetap menyala dari jam 9.30 pagi hingga 6 petang, dan akan bersambung esoknya, dari jam 8 pagi hingga 12 tengah hari.

Beberapa pelukis sedang berkarya: Rozaini Abindinhazir, Imam Fadli, Boga, Ramli Shamsuri dan Pklong Yawaris.

Di sebalik peluh yang mengalir laju, ada tumpuan yang tak berbelah bagi. Karya mesti disiapkan tepat pada masanya. Nama-nama digeruni seperti Cikgu Adzran Omar, Mazuki Muhammad, Hamidon Ahmed, Jejai, BoGa, mereka yang bukan sekadar pelukis, tetapi pahlawan kanvas. Yang lain, wajah baru namun tidak kurang berbisa. Seni bukan sekadar pertandingan, tetapi juga jambatan perkenalan dan kami berkenal-kenalan, menyulam ukhuwah dalam garis dan warna.

Namun tidak semuanya damai. Sebuah kontroversi muncul, hadir dari seorang peserta muda berusia 17 tahun yang berani, Orked melukis Raja berbusana penuh istiadat, memegang topeng jikei. Dari sisi seni, karyanya luar biasa, penuh tafsiran, bergelut antara simbol dan makna. Namun dalam konteks pertandingan, ia menyusur garis bahaya. Unsur 3R yang terkandung, mengundang risiko, dan akhirnya penyertaannya dibatalkan. Visualnya tajam, tetapi mesejnya bisa, dan penganjur terpaksa mengambil langkah bijaksana demi menjaga keharmonian.

Sebahagian besar peserta menyandarkan karya pada realisme alam lanskap: Azmi Saad, Mazuki Muhammad, Jejai, Shahizan Desa,  dan Pklong Yawaris mengangkat alam menjadi tafsir jiwa. Yang lain, seperti Hamidon Ahmed, BoGa, dan Anne, melukis alam benda dengan kesungguhan. Lukisan figura kontemporari pula ditatang oleh Norwalni Latifah Yazid, Adzran Omar dan Mohd Shukri Mohamad Zain. Namun gaya kontemporari seperti Munif Mohd Nor, tidak mengikat hati juri — meski tidak kurang nyalinya.

Hari penyampaian hadiah diserikan keberangkatan KDYMM Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, Raja Perlisdan Permaisuri. Sebuah detik penuh penghormatan, bila seni dijunjung oleh yang berdaulat. Keputusan diumumkan:

Saguhati RM800:

Azmi Saad, Adzran Omar, Mohd Shukri Mohammad Zain, Norwalni Latifah Yazid, Wan Nazidi Wan Nawi, Fahmi Fairus Adnan.

Hadiah Juri RM2000:

Hamidon Ahmed, Abdul Rahman Jaafar, Shahizan Desa.

Juara RM3000:

Mazuki Muhammad — mahkota kemenangan jatuh ke tangan yang layak.

Usai segala gempita, kami sempat singgah di Rumah Kuda milik Cikgu Khairilazmir Ahmad. Di pinggir sawah menghijau, bukit-bukit bersimpuh anggun menyambut kedatangan kami. Rumah kayu bernafas rekabentuk negara barat, dulunya dipandang gila, kini jadi tempat ziarah para pencinta seni. Udara segar, awanan putih terapung bagai sapuan lembut dalam lukisan Tuhan.

Rumah Kuda Cikgu Khairilazmir Ahmad

Perjalanan pulang diiringi rasa berbunga: bukan sekadar keletihan, tapi kepuasan yang meresap. Kami pulang dengan bukan hanya cerita tentang karya, tetapi kisah, sahabat dan jiwa yang terisi. Balbuk Haus, Pertandingan, Rumah Kuda — semua itu jadi lanskap memori, yang akan terus dikenang dalam getar waktu.

Seni bukan hanya tentang siapa menang, tetapi tentang siapa yang pulang dengan jiwa yang baru, dan persahabatan yang tulus segar.

Ditulis oleh: Raduan Norudin
Sumber: rasartblog | kolumpoart.com

Kategori:

Seni

Datang bawa damai;
Pulang bawa cinta.

Ruang oleh Balbuk haus