Oleh: Ibnu Din Assingkiri

EKORAN polemik HSPM yang bermula dengan ketidakpuasan terhadap tahap penjurian hingga berjangkit seperti Covid-19 sampai mencetuskan perang saudara antara penulis dan pengkritik dalam medan sastera kita yang hanya sekangkang kera, saya terpanggil untuk menulis. Tujuannya bukan untuk meniup api di bara, atau mencurah cuka ke luka, tetapi menyampaikan rasa seseorang yang memakai dua topi – penulis dan pengkritik.

Dalam dunia sastera kita masa kini, hubungan antara penulis dan pengkritik boleh diibaratkan seperti hubungan antara pasangan suami isteri dalam drama Melayu pukul 7 malam, penuh kasih sayang yang bersyarat, ada puji-pujian, ada juga periuk belanga melayang. Walaupun masing-masing saling memerlukan, namun pertelagahan kecil sering berlaku apabila satu pihak “tidak memahami perasaan” pihak yang lain.

Sejak dahulu, penulis sering dianggap sebagai pencipta agung, manusia separa nabi (zaman jahiliah) yang menyampaikan kebenaran dalam bentuk metafora. Namun, apabila karya mereka dihantar ke platform pembacaan umum, maka muncullah watak yang tak kurang pentingnya dalam ekosistem ini: sang pengkritik. Dalam suasana sastera kontemporari Malaysia, interaksi antara kedua-dua entiti ini semakin kompleks, berlapis-lapis dan adakalanya beremosi dan membawa sampai ke status Facebook yang berkias dan tidak.

Pengkritik, Sang Pembaca Kritis yang Menolak Akur

Pengkritik bukan sekadar pembaca marhaen yang memberi komen “best sangat puisi ni, deep!” Mereka adalah individu yang membaca dengan lensa yang lebih tajam daripada kamera DSLR 50mm. Mereka membedah, meneliti, dan menyoal. Kadangkala, mereka membelek di antara baris demi baris, mencari makna tersirat yang mungkin penulis sendiri tak sedar telah dimasukkan. Di sinilah teori seperti Death of the Authoroleh Roland Barthes menjadi relevan.

Menurut Barthes, sebaik sahaja teks itu dibaca oleh orang lain, penulis harus “mati” — bukan secara literal (jangan panik), tetapi dalam erti kata bahawa niat penulis tidak lagi mengikat makna teks. Pembaca (atau pengkritik) diberi kebebasan menafsir mengikut pengalaman, wacana dan kerangka kefahaman mereka sendiri. Jadi, apabila seorang penyair muda menulis puisi tentang “bulan pecah di langit sepi.” pengkritik bebas mentafsirkannya sebagai lambang kehilangan identiti genenerasi millenia walaupun si penyair cuma kecewa sang oyen peliharaannya lari dari rumah mengikut seekor Maine coone betina yang sassy.

Maklumat iklan sila layari sewa2ride.my

Penulis, Sang Penukang Kata yang Sensitif

Namun, kita faham juga bagi penulis, karya itu bukan sekadar teks; ia adalah cebisan jiwa, hasil tangisan pada pukul 3 pagi, dan sakit menikam kepala kerana meneguk kopi pekat tanpa gula bercawan-cawan. Maka, apabila pengkritik membedah karya dengan scalpel teori, sesetengah penulis terasa seperti jantungnya sedang dibedah hidup-hidup tanpa bius. Ada yang melatah, ada yang membalas kritikan dengan puisi balas-membalas (yang selalunya hanya difahami oleh kumpulan WhatsApp penulis tertentu), dan ada juga yang menyumpah seranah secara tersirat dan tersurat melalui sindiran di Facebook lalu meletakkan penafian “Ini Tidak Ditujukan Kepada Sesiapa (Tapi Kau Tahu Siapa Kau)”.

Nasihat kepada para penulis: tenang. Bernafas. Jangan cepat melatah. Kritikan bukan musuh. Bahkan, kritikan adalah bukti bahawa karya anda dibaca dan direnungi. Bayangkan jika karya anda langsung tidak mendapat sebarang reaksi. Tentu itu lebih menyedihkan daripada kritikan paling pedas sekalipun. Lagipun, kritikan yang membina boleh mengasah pena anda menjadi lebih tajam, lebih padu.

Mari Berdialog Intelektual, Bukan Drama Emosional

Dalam ekosistem sastera kita, seharusnya wujud dialog intelektual yang sihat antara penulis dan pengkritik. Pengkritik bukan dewa yang wajib dipercayai sepenuhnya, dan penulis bukan makhluk suci yang tidak boleh disentuh. Kedua-duanya adalah agen dalam dunia makna, saling memerlukan demi perkembangan wacana yang hidup dan bermakna.

Sebagai contoh, dalam pendekatan Reader-Response Critisism (diangkat oleh Stanley Fish dan Wolfgang Iser), makna sesebuah karya hanya lengkap apabila ia berinteraksi dengan pembaca. Maka, pengkritik sebagai pembaca aktif berperanan penting menyuarakan respon yang berbeza-beza. Namun, ini tidak bermakna semua pembacaan adalah betul. Ia tetap bergantung pada hujah, logik dan bukti dari teks. Maka, kalau ada pengkritik yang menulis “saya rasa puisi ini tentang alien dari Planet Namek sebab saya mimpi UFO semalam” itu bukan kritikan. Itu fragmen dari mimpi sebab tidur tak basuh kaki.

Dalam konteks Malaysia, kita juga berhadapan dengan cabaran unik seperti sensitiviti budaya, kepelbagaian bahasa dan kecenderungan terhadap sastera yang bersifat harmoni. Maka, peranan pengkritik juga bukan untuk menembak secara rambang, tetapi menyuluh dengan lampu suluh intelektual yang sopan dan tajam. Sebaliknya, walaupun teori Barthes dan konvensi lainnya melarang penulis membela karya sendiri, namun seandainya pengkritik memaki hamun dalam kritikan, maka silakan membela karya sendiri.

Maklumat iklan sila layari sewa2ride.my

Perluas Medium, Jangan Katup Pintu

Zaman ini juga menyaksikan perubahan cara karya dikritik, bukan lagi terhad dalam jurnal akademik atau majalah sastera, tetapi juga di media sosial, YouTube, TikTok dan podcast. Ini membuka ruang lebih besar untuk suara baharu, termasuk pengkritik amatur yang berwibawa. Namun, ia juga menuntut kematangan daripada penulis dalam menerima pelbagai jenis maklum balas, dari ulasan analitikal ke komen ringkas seperti “meh” atau “tak sampai.”

Penulis era kini harus menyesuaikan diri dengan realiti ini. Mungkin dunia hari ini tidak lagi romantik seperti zaman Chairil Anwar atau Usman Awang. Tapi daya hidup sastera tetap subur jika ada keberanian untuk berdialog, bukan bertikam lidah.

Lagipun, bukankah kita menulis untuk memprovokasi dan mencambah fikiran, mengusik emosi dan mencetus wacana? Kalau begitu, pengkritik yang memberi maklum balas, walaupun tak menyenangkan, adalah petanda anda berjaya. Anda mendebur air di tasik sunyi. Anda menghidupkan dialog. Itu satu kemenangan besar kepada penyair kecil dan Win-win Situation kepada penyair mapan.

Jangan Marah, Tulis Lagi, Kritik Lagi

Dunia sastera bukanlah medan untuk menunjukkan siapa lebih pandai, lebih tulen atau lebih hebat. Ia medan perkongsian. Penulis menulis, pengkritik membaca dan menanggapi. Kritikan bukan hukuman; ia cermin. Kadangkala ia memantulkan sisi yang anda suka. Kadangkala tidak, tapi tetap, ia membantu.

Jadi kepada semua penulis, teruskan menulis, teruskan menyuarakan isi hati dan fikiran anda dan bila dikritik, jangan baling keyboard dan mencerca pengkritik secara simbolik atau harfiah. Tulis puisi baru. Siapa tahu, puisi itu pula akan membuka wacana (atau polemik) baharu. Seperti kata pepatah kontemporari:

“Sayangkan penulis, kritik-kritikkan. Sayangkan pengkritik, kucing-kucingkan (jangan anjing-anjingkan).”

*IBNU DIN ASSINGKIRI berasal dari Singkir Laut, Kedah. Telah menghasilkan tiga kumpulan cerpen, tujuh kumpulan puisi serta berpuluh antologi pelbagai genre terbitan di Malaysia dan Indonesia. Turut terlibat sebagai editor dan penyelenggara serta pembimbing bengkel penulisan kreatif. Karya eceran puisi, cerpen dan esei terbit di pelbagai media tempatan dan antarabangsa. Pernah memenangi tiga anugerah sastera negeri (Pulau Pinang dan Kedah) dalam penulisan puisi dan cerpen.

Kategori:

Arkib Kata,Ulasan & Artikel

Datang bawa damai;
Pulang bawa cinta.

Ruang oleh Balbuk haus